Tuesday, June 28, 2011

PERANG UHUD


Huraikan perkembangan Perang Uhud dan kesan – kesan peperangan ini ke atas pihak yang terbabit.

A.       Pengenalan


1.   Permusuhan antara orang – orang Islam dengan Quraisy Makkah tidak berakhir selepas Rasulullah s.a.w.  berhijrah ke kota Madinah, sebaliknya pertembungan kedua – dua pihak semakin hebat yang mencetuskan beberapa siri peperangan seperti Perang Badar, Perang Uhud, dan Perang Ahzab.
2.  Walaupun Islam tidak menggalakkan peperangan, namun disebabkan perkara –perkara yang tidak dapat dielakkan khususnya perlunya mempertahankan kesucian agama Islam dan menjaga maruah diri serta keselamatan negara Islam, Islam membenarkan umatnya mengangkat senjata.
3.   Perang Uhud merupakan pertempuran kedua yang berlaku dalam sejarah Islam pada tahun 3 H melibatkan 700 orang tentera Islam diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dengan 3000 orang tentera Quraisy yang diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb.
4.  Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan peperangan ini, antaranya ialah hasrat Quraisy menebus kekecewaan dalam Perang Badar, penentangan yang tidak pernah padam di kalangan pemimpin Quraisy, kebimbangan kafilah dagang akan terancam, dan hasutan golongan Yahudi Bani Nadhir.

B.       Perkembangan Perang Uhud

1.   Apabila Rasulullah s.a.w. dimaklumkan oleh bapa saudaranya, Abbas, kaum Quraisy bersiap sedia untuk menyerang Madinah. Tentera Quraisy dianggarkan berjumlah 4000 orang di bawah pimpinan Abu Sufyan. Tentera Quraisy ini disertai oleh  penduduk dari dalam dan luar kota Makkah seperti puak Kinanah, al Harith, Tihamah, dan Thaqif. Mereka bertolak dari kota Makkah pada 25 Ramadhan tahun 3 H dan sampai di Uhud pada 5 Syawal tahun yang sama.
2. Rasulullah s.a.w. mengadakan mesyuarat di kalangan penduduk Madinah untuk   membincangkan kaedah menangani musuh  negara Islam itu. Dalam mesyuarat tersebut timbul dua pandangan iaitu cadangan keluar dari kota Madinah dan yang kedua bertahan sahaja dalam kota Madinah. Meskipun Rasulullah s.a.w.  lebih menyukai cadangan kedua, namun berdasarkan prinsip syura, Rasulullah s.a.w.  menerima cadangan pertama kerana ia merupakan suara majoriti.
3.   Tentera Islam pada awalnya berjumlah 1000 orang, namun sebelum peperangan berlaku  satu pertiga tentera di bawah pimpinan Abdullah bin Ubay telah menarik diri  dengan alasan kemungkinan berlakunya serangan tentera Musyrikin Makkah ke atas kota Madinah. Namun yang sebenarnya ialah mereka kurang yakin dengan jumlah tentera Islam yang agak kecil di samping sikap mereka yang tidak ikhlas menganut Islam.
4.   Walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w.  tidak putus semangat sebaliknya telah merangka strategi yang baik dengan meletakkan tentera pemanah di Bukit Uhud. Baginda telah menempatkan 50 orang tentera pemanah di atas Bukit Uhud diketuai oleh Abdullah bin Jubair. Strategi ini berjaya memerangkap tentera Quraisy.
5.        Kesannya, tentera Islam hampir memperoleh kemenangan, namun disebabkan tentera pemanah meninggalkan posisi  strategik itu demi mendapatkan harta yang ditinggalkan musuh telah mendedahkan kepincangan benteng pertahanan tentera Islam.
6.   Khalid al Walid yang melihat tentera Islam berebut – rebut harta rampasan bertindak menyerang semula tentera Islam yang menyebabkan tentera Islam berada dalam keadaan kucar – kacir. Kesannya, 70 orang tentera Islam telah syahid termasuk Saidina Hamzah, malah Rasulullah s.a.w.  sendiri mengalami cedera, membolehkan tentera musuh meraikan kemenangan

C.       Kesan Perang Uhud

1.   Kabilah – kabilah Arab mula memandang rendah dan  serong kepada umat Islam, mereka kembali semula kepada kaum Quraisy. Malah ada yang berani membunuh umat Islam sewenang – wenangnya seperti Bani Bakr yang membunuh seramai 70 orang utusan dakwah Islam di Bir Mauna.
2    Kekalahan dalam Perang Uhud juga telah menimbulkan krisis keyakinan di kalangan umat Islam yang tipis imannya, mengapa tentera yang diipimpin oleh Rasul yang membawa agama  Allah gagal mengalahkan musuh Allah.
3.   Perang Uhud ialah ia memberikan pengajaran kepada tentera Islam agar mentaati serta mengikuti taktik yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w.  serta dilarang sama sekali mengengkari arahan ketua kerana padahnya amat besar sekiranya hal ini berlaku.
4.   Perang Uhud juga memberi gambaran kepada umat Islam mengenai sifat – sifat dan bahaya – bahaya yang ditimbulkan oleh golongan munafik. Ini menyebabkan orang – orang Islam semakin berhati – hati ketika berhadapan dan berurusan dengan orang – orang munafik .
5.   Rasulullah s.a.w telah bertindak menghalau Yahudi Bani Nadhir dari kota Madinah, bukan sahaja kerana sikapnya yang mengkhinati Sahifah Madinah, bahkan mereka kerap berusaha membunuh Rasulullah s.a.w.
6.   Kaum Quraisy mula yakin dengan kekuatan mereka dan percaya kekuatan Islam mulai lumpuh. Ini mendorong mereka semakin bersemangat untuk mengalahkan dan yang penting membunuh Rasulullah s.a.w. dengan lain perang ini membuktikan kaum Quraisy memang sentiasa berazam untuk menghancurkan Islam bila – bila masa sahaja tanpa diduga. 

D.       Kesimpulan

1.    Kemenangan pihak musuh telah mencetuskan kayakinan seteru Islam, oleh itu mereka telah bangkit sekali lagi untuk mencabar umat Islam, kesannya berlaku Perang Ahzab pada tahun 5 H, namun dengan kegigihan serta kebijaksanaan Rasulullah s.a.w. merencanakan strategi, hasrat Quraisy menemui jalan buntu.

No comments:

Post a Comment